Hari Pertama (4 Jun 2010)
Kami seramai 68 orang berkumpul di hadapan pejabat Tiram Travel Sdn. Bhd untuk menaiki bas ke Singapura pada pukul 1 pagi dan setiap orang diberikan passport mereka, dokumen perjalanan dan tag nama. Dugaanku bermula apabila aku mendapati nama di tag namaku ialah Faris Adli Binti Jamian. Sejak bila aku tukar jantina? 2 buah bas disediakan untuk kami sebagai pengangkutan ke Singapura. Perjalanan ke Singapura hanya mengambil masa beberapa jam melalui Link Kedua. Semasa di Link Kedua kami berhenti seketika untuk menikmati makanan yang disediakan oleh Tiram Travel. Kira-kira pukul 3 pagi kami sampai di Lapangan Terbang Changi untuk menaiki kapal terbang ke Sri Lanka pada pukul 7.05 pagi waktu Singapura.
Oleh kerana penerbangan ke Sri Lanka pada pukul 7.05 pagi, maka kami terpaksa Solat Subuh di lapangan terbang. Maka timbullah persoalan sama ada tempat untuk berwudhuk dan bersolat kerana kami tidak pernah menjejak kaki di Lapangan Terbang Changi ini. Jadi sebagai langkah keselamatan, kami mengambil wudhuk di bilik air. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sukarnya mengambil wudhuk di bilik air. Setelah semua urusan untuk penerbangan telah selesai diuruskan dan hanya menanti kapal terbang berlepas, kami berusaha mencari tempat solat. Akhirnya kami berjumpa tempat solat yang disediakan oleh pihak lapangan terbang. Tempat solat ini sangat istimewa kerana ia tempat solat dan meditasi untuk semua agama.
Pada pukul 7.05 pagi, kami berlepas dari Singapura menuju ke Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur barulah kami menuju Sri Lanka. Kenapa mesti singgah Kuala Lumpur? Yang tu kena tanya Sri Lankan Airlines.
Kami tiba di Sri Lanka kira-kira pada pukul 12.00 tengah hari waktu Singapura dan menyambung penerbangan ke Jeddah pada pukul 3.10 petang waktu Sri Lanka. Semasa di lapangan terbang Sri Lanka, aku melayari internet untuk mengetahui waktu solat Zohor di Sri Lanka. Berdasarkan maklumat di internet, waktu solat Zohor di Sri Lanka ada;ah 12.40 tengah hari. Maka sempatlah kami menunaikan solat sebelum meneruskan perjalanan. Namun apa yang mengejutkan aku seawal 12.00 tengah hari waktu Sri Lanka surau telah penuh dan orang telah mula solat. Solat apa mereka ni? Timbul kesukaran untuk kami mengambil wudhuk sebelum memulakan solat Zohor. Surau yang disediakan hanya menyediakan ruang solat sahaja. Maka terpaksalah kami mengambil wudhuk di bilik air yang agak jauh dari surau. Timbullah rasa kesyukuran pada diri ini dibesarkan di Malaysia. Di Malaysia, hampir semua tempat menyediakan tempat solat beserta tempat wudhuk.
Pukul 3.10 petang waktu Sri Lanka kami menaiki kapal terbang menuju Jeddah dan tiba di Jeddah kira-kira pukul 7 malam waktu Arab Saudi. Setelah mengambil beg-beg yang disimpan dalam kargo kapal tebang, kami ditahan oleh sekumpulan orang Arab yang meminta passport kami. Kami terpaksa memberikannya kerana orang Arab ini telah menghalang laluan kami. Walaupun terkejut, aku berdoa agar passport selamat. Di Lapangan Terbang Jeddah ini, kami solat Maghrib dan jamak solat Isyak. Walaupun tempat solatnya agak besar, namun tempat wudhuknya agak jauh dari tempat solat. Setelah selesai solat, seorang Arab telah menemuiku. Antara faham dengan tidak apa yang diucapkannya kerana orang Arab bercakap Arab dan beberapa patah perkataan Inggeris denganku, kami mengikut arahan orang Arab ini yang mahu kami mengikutnya. Sambil berdoa agar dipermudahkan segalanya, kami menaiki bas yang disediakan.
Ketika dalam bas, timbul kekecohan apabila terdapat keluarga yang terpisah bersama-sama beg yang dibawa. Maka terpaksalah ketua rombongan kami, Ustaz Imamudin mencarinya. Setelah semuanya selesai, bas kami pun bertolak menuju Madinah. Ketika sampai di Madinah, jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Tidak lama lagi waktu Subuh akan tiba. Jarak antara hotel kami dengan Masjid Nabawi hanyalah kira-kira 300meter.
Hari Kedua (5 Jun 2010)
Selepas solat subuh di Masjid Nabawi, kami balik ke hotel dan bersarapan. Setelah bersarapan, kami pun bersiap-siap untuk membuat ziarah dalaman melawat Raudhah, Makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar. Oleh kerana orang terlalu ramai dan cuaca terlalu panas, kami tidak melawat Perkuburan Baqi’. Bercerita tentang cuaca di Madinah, cuaca di Madinah agak panas tak kira siang atau malam. Walaupun kadang kala ada tiupan angin, angin di Madinah agak panas. Kadangkala kepanasan di Madinah seperti kita berada di tepi unggun api. Bersyukurlah kita berada di Malaysia yang mana panas dan sejuk agak seimbang.
Selepas selesai ziarah, kami pulang ke hotel untuk berehat seketika sementara menunggu waktu Zohor. Waktu solat di Arab Saudi agak berbeza di Malaysia. Di Arab Saudi, waktu Subuh pukul 3.40 pagi, manakala di Malaysia waktu Subuh ialah sekitar 5.45 pagi. Di Arab Saudi, waktu Zohor pada pukul 12.40 tengah hari, manakala di Malaysia 1.15 waktu Zohor.
Apa yang mungkin boleh dibanggakan ialah umat Islam berpusu-pusu menuju Masjid Nabawi apabila tiba waktu solat. Malah kebanyakannya tiba sebelum waktu solat. Mengapa amalan ini tidak terus diamalkan selepas pulang ke tanah air? Mungkin sebab pahala solat di Masjid Nabawi lebih besar dari masjid di tanah air atau kita terlalu sibuk dengan urusan duniawi?
Di Masjid Nabawi disediakan banyak tong air zam-zam. Orang ramai boleh minum air zam-zam dengan menggunakan cawan-cawan plastik yang terdapat pada sebelah kanan tong dan meletakkannya kembali cawan tersebut pada kiri tong. Satu fakta yang menarik mengenai tong air zam-zam di Masjid Nabawi ialah tong-tong ini setiap masa mempunyai air zam-zam. Jarak antara Madinah dan Makkah ialah kira-kira 400 kilometer. Begitu rajinnya pekerja-pekerja di Masjid Nabawi.
Waktu makan tengah hari kami ialah selepas solat Zohor dan waktu makan malam ialah selepas solat Isyak. Selepas makan tengah hari, kami pulang ke bilik untuk berehat sementara menunggu waktu Asar. Setelah selesai solat Asar, kami akan pulang ke hotel sementara menunggu waktu Maghrib dan Isyak.
Hari ketiga (6 Jun 2010)
Selepas sarapan di hotel, kami melakukan ziarah luaran dengan melawat persekitaran kota Madinah dengan menaiki 2 buah bas. Antara tempat yang kami ziarah ialah Masjid Quba’, Masjid Qiblatain, Pergunungan Uhud, Masjid Tujuh, kilang mencetak Al-Quran dan pasar tamar.
Masjid Quba’ merupakan masjid yang mula-mula dibina oleh Nabi Muhammad. Di masjid ini kami singgah untuk bersolat tahiyatul masjid. Masjid Qiblatain merupakan masjid dua kiblat. Ketika Nabi Muhammad sedang bersolat Zohor di masjid ini, turunlah wahyu yang menyatakan kiblat ke arah Kaabah. Kilang cetakan Al-Quran yang kami lawati ialah kilang yang mencetak Al-Quran untuk seluruh Arab Saudi. Setiap orang lelaki yang melawat kilang cetakan Al-Quran akan mendapat Al-Quran percuma setiap orang.
Hari keempat(7 Jun 2010)
Selepas solat Zohor dan makan tengah hari, kami melakukan ziarah wida’ atau ziarah selamat tinggal. Dengan berpakaian ihram, kami bertolak menuju Makkah. Dalam perjalanan menuju Makkah, kami berhenti di Bir Ali untuk solat sunat ihram dan berniat ihram. Oleh kerana dijangka tiba di Makkah selepas waktu Isyak, kami berhenti di satu tempat untuk solat Maghrib dan jamak Isyak. Kira-kira pukul 11 malam kami tiba di Makkah. Setelah meletakkan barang di bilik, kami menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah.
Terasa diri ini begitu bersyukur dapat melihat Kaabah depan mata apabila tiba di Masjidil Haram. Dengan bimbingan mutawwif, kami melakukan umrah. Alhamdulillah, dengan izin-Nya kami sekeluarga dapat menyempurnakan umrah tanpa timbul sebarang masalah walaupun seluruh badan terasa letih. Setelah selesai menyempurnakan umrah, kami pulang ke hotel. Apabila tiba di bilik, tanpa membuang masa, aku menukar pakaian dan baring di katil. Ketika inilah, nikmat baring begitu jelas terasa. Aku tidak dapat pergi ke Masjidil Haram untuk solat Subuh kerana letih perjalanan dari Madinah dan letih selepas menyempurnakan umrah.
Hari kelima (8 Jun 2010)
Waktu selepas subuh adalah waktu R & R (Rehat dan Rawat) bagi aku. Seperti juga di Madinah, waktu makan adalah sama. Bermula waktu Zohor kami pergi ke Masjidil Haram. Jarak antara hotel kami dan Masjidil Haram ialah kira-kira 300meter. Cuaca di Makkah walaupun panas tetapi tidak sepanas di Madinah.
Hari keenam (9 Jun 2010)
Selepas sarapan, kami melakukan ziarah ke beberapa tempat seperti Jabal Nur (Gua Hira’), Jabal Thur, Jabal Rahmah, Padang Arafah, Mina, Muzdalifah dan Masjid Ja’aranah untuk solat sunat ihram dan berniat ihram. Kali kedua menyempurnakan umrah, cabaran yang dilalui bukan mudah. Walaupun kawasan disekeliling Kaabah menggunakan jubin tahan panas, ia tidak bermakna tiada kepanasan semasa tawaf. Pada pukul 3 petang, kami selesai menyempurnakan umrah. Setelah sempurna umrah ke dua, keletihan dan kepenatan dirasai. Kami pulang ke hotel untuk R & R. Kami tak terdaya untuk solat Asar di Masjidil Haram.
Hari ketujuh (10 Jun 2010)
Selepas sarapan, kami berjalan-jalan sekitar hotel kami. Terdapat banyak kedai sekitar hotel kami. Kami singgah di beberapa kedai untuk membeli beberapa barang sebagai hadiah untuk dibawa pulang.
Hari kelapan (11 Jun 2010)
Buat pertama kalinya dalam sejarahku, aku pergi Masjidil Haram untuk solat Jumaat. Walaupun satu benda tak faham kandungan khutbah, tapi terpaksa juga mendengarnya. Satu pengalaman yang susah didapati di Malaysia.
Hari kesembilan (12 Jun 2010)
Selepas sarapan, kami melakukan lawatan ladang ternakan unta dan membeli beberapa botol susu unta. Satu fakta yang menarik ialah, anak unta tidak dapat minum susu unta kerana terlalu ramai jemaah dari Malaysia membeli susu unta. Setelah selesai lawatan, kami singgah di Masjid Hudaibiyah untuk solat sunat ihram dan berniat ihram. Selepas menyempurnakan umrah, satu peristiwa telah berlaku iaitu seliparku telah dicuri. Macam mana selipar tu boleh dicuri sedangkan selipar lain dalam plastik yang sama tak?
Hari kesepuluh (13 Jun 2010)
Oleh kerana selipar ku telah dicuri, terpaksalah aku beli selipar baru. Dari 1 kedai ke kedai lain aku mencari selipar. Bukan kerana sukarnya mencari kedai selipar, tapi sebab semua kedai yang aku singgah jual selipar design yang sama je. Jadi terpaksalah aku memilih apa yang ada.
Hari kesebelas (14 Jun 2010)
Hari kedua belas (15 Jun 2010)
Selepas bersarapan, kami mengemas barang-barang kami untuk pulang ke Malaysia. Kira-kira jam 9 pagi, kami melakukan tawaf wida’ dan memulakan perjalanan pulang sejurus semua urusan telah selesai pada tengah hari menaiki bas. Kami makan tengah hari dan bersolat Zohor di Masjid Terapung Jeddah. Kami tiba di Lapangan Terbang Jeddah pada pukul 3 petang dan urusan “check in” penerbangan kami dibantu oleh mutawatif. Kami akan menaiki kapal terbang ke Sri Lanka pada pukul 8 malam waktu Arab Saudi. Pada mulanya ketua rombongan kami, Ustaz Imamudin membenarkan kami bersolat Maghrib dengan cepat sebelum menaiki kapal terbang. Namun kebenaran ini ditarik balik kerana terdapat beberapa jemaah yang tidak mampu untuk solat dalam keadaan cepat.
Hari ketiga belas (16 Jun 2010)
Kami tiba di Lapangan Terbang Sri Lanka pada subuh 16 Jun. Untuk menjimatkan masa kerana dijadualkan kapal terbang ke Singapura akan berlepas pada 7.30 pagi, kami tidak solat Subuh di surau tetapi diruang kosong bahagian lapangan terbang. Kapal terbang ke Singapura yang kami naiki tidak tiba pada masanya, lewat kira-kira 30 minit. Seperti penerbangan pergi, penerbangan pulang ini juga akan singgah di Kuala Lumpur. Kami tiba di Lapangan Terbang Changi pada petang itu. Dengan menaiki bas, kami pulang ke tanah air dan tiba di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar pada maghrib. Terlupa nak beritahu yang ketika penerbangan Sri Lanka-Kuala Lumpur-Singapura, aku mula muntah kerana kapal terbang bergegar meredah awan. Sebab itulah aku tak tahu pukul berapa sampai Lapangan Terbang Changi. Sejak dari penerbangan ke Singapura sehinggalah tiba di rumah, aku muntah. Walaupun ketika sampai di rumah, masih sempat untuk solat Maghrib, tetapi aku tak melakukannya kerana aku terlalu lemah.













































































Salam..teruskan catatan tetamu Allah ini dengan luahan hati tentang pengalaman mengerjakan umrah..sentuhan rohani yg diperolehi..
Insya Allah sedikit masa lagi akan dimasukkan luahan hati tentang umrah..terima kasih atas pandangan yang diberikan
ko bawak balik air zam2 utk aku x?
lupe nak pesan.huhu
Tahniah kerana anda selamat pulang ke Malaysia..
Faris Adli Binti Jamian yang seliparnya dicuri dan terpaksa membeli selipar yang pilihan rekabentuknya semuanya serupa.
Diharap anda dapat pulih dari rasa loya dan muntah-muntah semasa penerbangan atau didalam bas.
p/s: Sila tambah nilai untuk membuat panggilan.Tq
salam…
nape komen kt ats Faris Adli ‘binti’ Jamian????
ape2 pn tahniah krn anda tlh brjaya mngerjakan umrah..
lebih2 lg di usia muda..bkn sng nk kerjakan umrah pd usia muda
melainkan ade duit sndiri or parent punye duit..
bersyukur la….